mutakhir

49 rakyat Malaysia di Sudan selamat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 49 rakyat Malaysia termasuk 25 pelajar yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Sudan berada dalam keadaan selamat susulan demonstrasi besar-besaran di negara itu, kelmarin.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada rakyat Malaysia yang terkesan secara langsung dengan demonstrasi itu.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan terkini di negara terbabit dan pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan semua pihak berkaitan.

"Seorang warganegara Malaysia juga sudah meninggalkan Sudan menerusi penerbangan komersil pada 28 Oktober lalu, manakala 17 rakyat Malaysia dan seorang staf Petronas warga Thailand masih ditempatkan secara sementara di Kediaman Rasmi Duta Besar," menurut kenyataan itu.

Kementerian meminta rakyat Malaysia di lokasi lain negara terbabit untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan masing-masing.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular di Sudan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum menerusi talian +249 99 070 0350 atau e-mel mwkhartoum@kln.gov.my mahupun media sosial @Malawakil.Khartoum (Facebook) dan @MYEmbKhartoum (Twitter).

"Mereka juga boleh menghubungi Wisma Putra pada waktu pejabat di talian 03-88874201 / 4530 atau selepas waktu pejabat di talian 03-88874570," menurut kenyataan.

Disiarkan pada: November 1, 2021 @ 7:27pm
d