mutakhir

Kes sembuh atasi kes baharu Covid-19

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala lumpur: Sebanyak 5,299 kes sembuh akibat Covid-19 hari ini, mengatasi kes baharu yang direkodkan pada 4,626 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan menjadikan jumlah 2,380,060 kes sembuh di Malaysia atau 96.1 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, kumulatif kes dalam negara pula mencecah 2,476,268.

"Daripada jumlah kes harian yang direkodkan hari ini, sebanyak 94 kes atau dua peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 4,532 atau 98 peratus adalah kategori satu dan dua.

"Bilangan pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kini seramai 569 orang iaitu 503 disahkan Covid-19, 66 pula disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Seramai 301 individu pula memerlukan alat bantuan pernafasan membabitkan 213 kes disahkan Covid-19, manakala 88 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut mengenal pasti lima kluster baharu yang menjadikan keseluruhan 5,776 kluster dilaporkan setakat ini, dengan 411 kluster masih aktif.

Katanya, maklumat terperinci mengenai Covid-19 negara akan dimuat naik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemas kini selepas tengah malam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 1, 2021 @ 8:17pm
    d