Bola Sepak

Wolves tambah derita Everton

Oleh AFP

Wolverhampton, United Kingdom: Wolves memberikan Everton kekalahan ketiga berturut-turut Liga Perdana Inggeris ketika Max Kilman dan Raul Jimenez menjaringkan gol kemenangan 2-1 di Molineux, pagi ini.

Skuad kendalian Bruno Lage menguasai babak pertama hasil jaringan sulung Kilman buat Wolves selain penyudah baik Jimenez.

Alex Iwobi mengurangkan defisit pada babak kedua tetapi Wolves bertahan untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada lima perlawanan dalam liga.

Dengan empat kemenangan, Wolves mendaki ke kedudukan ketujuh manakala Everton jatuh ke kedudukan ke-10.

"Buat masa ini saya tidak mempedulikan mengenai carta liga. Saya mahukan mata. Saya fikir musim sejuk akan lebih sukar buat kami, kami harus berkerja keras. Untuk menang dalam memperoleh mata yang kami perlukan pada aksi seperti perlawanan ini," kata Lage.

Selepas kekalahan 5-2 Everton kepada Watford dalam perlawanan sebelum ini, ia satu lagi persembahan buruk buat skuad kendalian Rafael Benitez itu.

Everton hanya menang satu daripada enam perlawanan terakhir liga yang menamatkan keyakinan selepas empat perlawanan tanpa kalah pada permulaan musim dikemudi Benitez.

"Apabila anda tewas dalam perlawanan sudah pasti anda kecewa. Kami terlalu bimbang melakukan kesilapan tetapi pada babak kedua kami menampilkan karektor sebenar." kata Benitez.

"Kami harus belajar daripada pengalaman ini. Apabila kami mempunyai semua pemain utama kami akan lebih baik."

Disiarkan pada: November 2, 2021 @ 7:32am
d