mutakhir

BN yakin menang PRN Melaka - Sulaiman

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Barisan Nasional (BN) yakin mampu membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini dengan harapan menang lebih daripada 13 kerusi dikuasai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pembentukan kerajaan negeri yang mempunyai lebih 13 kerusi dan amat penting bagi memastikan kerajaan negeri berada dalam keadaan stabil dan kukuh berbanding jika setakat 'cukup makan.'

Menjelaskannya, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan, BN harus menang lebih daripada 13 kerusi yang dimenangi pada PRU-14 dan lebih baik jika mencapai dua pertiga daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, kerajaan negeri yang lemah akibat penguasaan kerusi DUN yang sekadar 'cukup makan' akan mendedahkan kerajaan epada risiko runtuh akibat tindakan sesetengah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.

"Kalau kita dapat pertahankan 13 kerusi (yang dimenangi pada PRU-14) pun sudah kira alhamdulillah tetapi kalau kita ingin membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil, elok lebih lagi.

"Kalau tidak ada mana-mana parti boleh bentuk kerajaan, maka akan berulanglah lompat parti," katanya selepas menyampaikan zakat Bank Rakyat kepada 150 asnaf di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Lendu, di sini hari ini.

Asnaf terbabit diberikan zakat RM200 seorang melalui peruntukan RM30,000 Bank Rakyat, selain kit makanan.

Turut hadir, Ketua Bank Rakyat Wilayah Melaka/Negeri Sembilan, Mazlan Ahmad.

Sulaiman berkata, pengundi di negeri ini tidak harus menganggap pemilihan kerajaan melalui PRN atau PRU seperti menukar baju kerana 'baju' yang dipilih itu akan dipakai dalam tempoh lima tahun.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, jika 'baju' itu terkoyak atau pudar warnanya, ia perlu terus dipakai kerana untuk menukarnya bukanlah tugas yang mudah.

"Kita pakai baju lima tahun, pilih kerajaan bukan macam pilih baju. Baju lima tahun, kalau tak bagus, kalau koyak, itulah yang akan dipakai...warna pun warna itulah, kalau boleh bertahan lima tahun, alhamdulillah," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta pengundi membuat pilihan yang bijak bagi menjamin kelangsungan pembangunan dan kemajuan politik, ekonomi dan sosial.

Pada PRU-14, BN bertanding di semua 28 kerusi DUN tetapi hanya menang 13 kerusi, berbanding 21 kerusi yang dimenangi pada PRU-13.

DAP bertanding lapan kerusi DUN dan menang semuanya manakala PKR bertanding tujuh kerusi tetapi menang tiga dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bertanding enam kerusi tetapi menang dua.

BERSATU yang ketika itu adalah komponen PH, bertanding tujuh kerusi tetapi menang dua.

Disiarkan pada: November 3, 2021 @ 2:12pm
d