mutakhir

Tahan 12 Pati lepas jumpa kesan tapak kaki

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Bukit Kayu Hitam: Cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar untuk memasuki negara ini gagal apabila ditahan di Jalan Bukit Kayu Hitam-Felda Bukit Tangga, di sini semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, tangkapan dilakukan pada 1 pagi, dalam Operasi Benteng kawasan Briged Keenam Infantri (6 Briged).

"Pasukan rondaan di jalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan tanda potongan pada pagar keselamatan dan terdapat kesan tapak kaki manusia yang menghala ke kebun getah.

"Susulan itu, anggota melaksanakan penjejakan berdasarkan kesan tapak kaki dan berjaya menahan sembilan lelaki dan tiga wanita yang bersembunyi di dalam semak," menurut kenyataan itu.

Kenyataan menyebut, kesemua Pati terbabit kemudian dibawa ke Pos Keselamatan untuk pemeriksaan lanjut dan didapati mereka berusia antara 20 tahun hingga 42 tahun yang cuba masuk ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 3,748 membabitkan mata wang Thailand, telefon bimbit dan barang kemas," kata kenyataan itu.

Pati berkenaan dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam bagi siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 4:57pm
d