mutakhir

Kesamarataan untuk semua Adun jika PH perintah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Jasin: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan diberikan peruntukan sama rata jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bekas Ketua Pembangkang Melaka, Adly Zahari berkata, ia bagi membolehkan rakyat menikmati pembangunan sama rata tanpa mengira parti yang diwakili Adun kawasan mereka.

Katanya, kesamarataan itu juga akan memberi manfaat yang lebih adil merentasi perselisihan fahaman politik.

"Kini cabaran paling utama untuk memastikan rakyat keluar mengundi pada Sabtu ini untuk menentukan tampuk kepemimpinan Melaka.

"Rakyat juga kini sudah lebih terbuka dan memahami parti mana yang akan diberikan mandat kelak," katanya ketika ditemui di Pekan Bemban, di sini.

Adly berkata, selain itu PH akan memberi fokus kepada kesihatan, ekonomi, pekerjaan, usahawan dan pendidikan.

"Namun, semua itu hanya akan dicapai sekiranya Melaka memiliki kestabilan politik.

"PH juga akan membentangkan Enakmen Anti Lompat Parti yang akan mengawal Adun daripada melompat parti dan mengkhianati mandat diberikan oleh rakyat," katanya.

Beliau yang juga calon Ketua Menteri PH, berkata sesiapa saja yang memerintah perlu mengekalkan mandat diberikan rakyat tanpa berlaku pengkhianatan.

"PRN kali ini lebih mencabar kerana setiap parti sukar untuk meramal sokongan yang diterima daripada rakyat," katanya.

Berita Berkaitan:

Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 5:01pm
d