mutakhir

Talian SELamat terima aduan kes dera kanak-kanak [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kes penderaan kanak-kanak antara aduan diterima menerusi Talian SELamat - Talian Hotline Keganasan Rumah Tangga sejak dibuka pada 1 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kes penderaan kanak-kanak itu satu daripada empat aduan kes keganasan rumah tangga diterima.

"Berdasarkan data dalam tempoh dua minggu pertama, ada 10 panggilan diterima, empat berkaitan keganasan rumah tangga termasuk kes dera kanak-kanak itu.

"Manakala enam yang lain ada bertanya mengenai bantuan kewangan termasuk kerajaan Pusat, bantuan kerajaan negeri, juga vaksinasi.

"Bagi kes penderaan kanak-kanak itu sudah pun dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Talian SELamat - Talian Hotline Keganasan Rumah Tangga di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini, hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri mewujudkan Talian SELamat yang boleh dihubungi di talian 03-6419 5027 pada bila-bila masa oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan masalah keganasan rumah tangga.

"Talian ini 24 jam hari, tujuh hari seminggu untuk rakyat Selangor, khususnya kepada pemandiri yang mengalami atau berdepan keganasan rumah tangga buat aduan.

"Panggilan aduan mereka ini akan terus dijawab oleh kaunselor dan terus beri bantuan..dari perbualan itu kita tahu apa yang diperlukan oleh pemanggil.

"Kaunselor akan beri tunjuk ajar bagaimana nak lindungi diri, elak dikasari lagi. Jika pemandiri itu perlu perlindungan kita aturkan perlindungan sementara untuk mereka.

"Kita akan beri sokongan serta bantuan, contohnya dia hendak buat laporan polis, hendak bercerai. Biasanya tidak semua pemandiri ada sokongan keluarga kuat sebab itu mereka perlu dibantu," katanya.

Beliau berkata, pemandiri bukan sahaja dalam kalangan kaum hawa, ada juga dalam kalangan warga emas, ibu bapa serta lelaki.

"Sebab itu, kerajaan negeri amat menggalakkan jiran tetangga atau rakan yang mengetahui mengenai kes keganasan rumah tangga agar bantu buat aduan.

"Ini kerana kadang-kadang mereka tidak berkeupayaan buat aduan takut diketahui, jadi buatlah aduan sebab bersama kita ada PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedia membantu," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 5:41pm
d