mutakhir

Wanita cedera, kereta dihempap pokok

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Wanita cedera ringan selepas kereta dinaiki bersama suaminya dihempap pokok tumbang di Seksyen 15 Jalan Penchala, di sini, awal pagi, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.09 pagi.

"Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebatang pokok berhampiran BBP Penchala yang berketinggian kira-kira sembilan meter tumbang dan menghempap sebuah kereta Honda City.

"Kereta berkenaan dinaiki seorang lelaki, B Jega, 39, bersama isterinya, M Nishalini berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari PJ Old Town menghala ke PJ State ketika kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, kedua-dua mangsa bertindak keluar dari kenderaan itu sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Kejadian itu menyebabkan isteri mangsa mengalami cedera ringan di bahagian kepala akibat terkena serpihan cermin pecah dan dihantar ke sebuah hospital swasta oleh orang awam.

"Suami mangsa pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak bomba bertindak memotong pokok itu dan mengalihkannya ke lokasi selamat," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2021 @ 9:04am
d