bisnes

Bank Islam lulus biaya RM360 juta untuk Pharmaniaga, Selgate

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM360 juta untuk Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate) untuk perolehan, pengeluaran dan pengedaran vaksin Covid-19 sebagai sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberi sokongan yang diperlukan pelanggan.

"Ia termasuk meluluskan kemudahan pembiayaan dengan terma dan syarat fleksibel bagi membantu syarikat terbabit dalam rantaian bekalan berkaitan Covid-19 untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan.

"Pada masa sekarang, pendedahan Bank Islam terhadap industri penjagaan kesihatan berjumlah lebih RM250 juta. Kami juga menyediakan kemudahan kewangan kepada syarikat dengan keperluan segera untuk melawan pandemik ini secara efektif," katanya.

Menurutnya, ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik dengan peluasan lebih banyak aktiviti ekonomi, terutama dengan kebenaran rentas negeri dan perjalanan ke luar negara.

"Bagaimanapun, ancaman jangkitan Covid-19 masih berlaku kerana jumlah kes positif dalam negara masih tinggi. Dengan pengenalan suntikan penggalak untuk membendung penularan wabak virus ini dengan lebih baik, Bank Islam berbesar hati untuk membiayai kedua-dua Pharmaniaga dan Selgate untuk membekalkan vaksin diperlukan.

"Sebagai bank Mendahulukan Kemakmuran Untuk Semua, Bank Islam komited memelihara keperluan kewangan pelanggan yang pelbagai dan menyumbang kepada keselamatan kesihatan negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya bersedia menyediakan vaksin Covid-19 jenis Sinovac kepada kerajaan negeri dan sektor swasta sebaik sahaja kebenaran diperoleh daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah sebagai dos penggalak.

Disiarkan pada: November 29, 2021 @ 7:10am
d