mutakhir

Ketua jabatan diminta urus penjawat awam enggan divaksin dengan cara sendiri

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Sepang: Semua penjawat awam yang berurusan secara terus dengan orang ramai disyaratkan mendapatkan vaksinasi Covid-19 lengkap.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, ia berikutan syarat untuk orang awam berurusan di pejabat kerajaan memerlukan mereka melengkapkan vaksinasi Covid-19.

"Kita juga cakap, yang berada di belakang kaunter perlu ambil vaksin kerana kita minta yang berada di hadapan (orang awam yang berurusan) divaksin. Tak kan di depan divaksin, yang belakang kaunter tidak divaksin.

"Masuk pejabat kerajaan semua kena vaksin, tak kanlah penjawat awam tidak divaksin?

"Jadi, kita minta ketua jabatan urus yang mana tidak divaksin ini dengan cara tersendiri. Ada yang kita pindahkan ke tempat lain," katanya kepada media hari ini.

Sebelum ini, Mohd Khairul Adib dilaporkan berkata, ketika ini, pihaknya sedang memadankan data yang ada di JPA dengan data di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk membabitkan senarai nama penjawat awam yang sudah mendaftar melalui MySejahtera tetapi belum mendapatkan vaksinasi.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 dikeluarkan JPA pada 18 Oktober lalu menetapkan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan boleh diambil terhadap penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada Ketua Jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam juga berdepan hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

JPA turut memaklumkan, 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan setakat 30 Oktober lalu.

Tamat

Disiarkan pada: December 1, 2021 @ 4:37pm
d