WM

Elak 'toksik' dalam keluarga

Oleh Hafiz Ithnin

DALAM kalangan adik-beradik, jarang kedengaran tidak pernah berlaku konflik meskipun masing-masing sudah meningkat usia dewasa dan berumah tangga.

Malah, ada antaranya berlaku kerana suka bersaing secara tidak sihat akhirnya tercetus konflik di dalam keluarga yang lebih serius.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, hakikatnya, acap kali berlaku huru-hara kerana persaingan antara adik-beradik yang boleh mengakibatkan pergeseran dan pergaduhan besar.

"Persoalannya, adakah persaingan antara saudara kandung atau 'sibling rivalry' perkara yang normal dalam situasi keluarga?

"Penyelidikan Jabatan Kesihatan Negeri Victoria, Australia menyatakan bahawa persaingan ini adalah hal yang normal," katanya.

Jelasnya, pada masa yang sama, persaingan antara adik-beradik boleh berubah menjadi 'keganasan' dan buli-membuli, jika tindakan pemantauan dan kawalan tidak dilakukan ibu bapa mereka.

"Persaingan antara adik-beradik didapati lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang sama jantina dan jarak umur antara mereka agak dekat.

"Tahap persaingan antara adik-beradik lebih rendah dalam keluarga di mana kanak-kanak berasa mereka dilayan sama rata dan kewujudan mereka dalam keluarga itu dihormati dan dihargai," katanya.

Tambahnya, penyelidikan saintifik dalam topik ini di negara Australia misalnya, membuktikan bahawa ibu bapa menilai kualiti hubungan adik-beradik dengan cara yang kurang optimis jika dibandingkan dengan anak-anak itu sendiri.

"Ini bererti kita sebagai orang dewasa mungkin menganggap sepasang adik-beradik kuat bersaing dan sentiasa ingin mendapat sesuatu yang lebih untuk dirinya.

Namun, untuk pasangan adik-beradik itu mereka tidak langsung berfikir seperti itu.

"Ibu bapa khasnya jangan lepaskan tangan dan membiarkan sahaja anak-anak mereka bersaing hingga terjadinya perbuatan ejek-mengejek, buli atau pukul sesama mereka," katanya.

Dr Airil berkata, ia sudah pasti akan menjadikan keluarga itu berada dalam aura toksik dan tidak sihat pada jangka masa panjang.

Tambahnya, apabila perbuatan negatif seperti ini dibiarkan tanpa tindakan kawalan, maka menjelang kedewasaan dikhuatiri persaingan antara adik-beradik berkenaan akan menjadi lebih sengit dan membawa masam muka serta permusuhan.

"Ketika kecil, kanak-kanak masih boleh mendengar kata dan menerima nasihat dengan mudah. Tetapi ego diri yang terbentuk ketika remaja dan yang dibawa ke alam dewasa hingga memburukkan lagi suasana.

"Akhirnya, seperti berpatah arang berkerat rotan, persaingan antara adik-beradik itu mungkin berlarutan menjadi perselisihan yang tiada jalan penyelesaian," katanya.

Katanya, dalam ilmu kaunseling perhubungan, sifat ego adalah musuh jahat yang mampu menghancurkan perhubungan antara manusia. Sifat atau perasaan ego sudah tercalar pula menjadi pembakar rasa bersaing antara saudara sedarah.

"Saya tetap tekankan bahawa persaingan antara adik-beradik perlu dikurangkan atau dijadikan pengalaman yang lebih mesra dan tidak negatif seawal usia kanak-kanak lagi. Kalau ditunggu sampai ke umur dewasa, takut-takut nasi sudah menjadi bubur.

"Akan tetapi, masih ada peluang untuk mengurangkan persaingan asalkan semua adik-beradik sanggup membuang jauh ego dan mula meraikan kejayaan dan kelebihan masing-masing. Perbezaan ini patut diraikan sambil bantu-membantu," katanya.

Jelasnya, didikan agama dan nilai moral harus bermula dalam keluarga dari seawal usia. Barulah anak-anak dapat faham dan menerima adik-beradik mereka seadanya.

"Memang wujud keluarga di mana semua ahlinya berjaya dalam karier, banyak harta dan hidup selesa lagi bahagia serta gembira. Tetapi, ada juga keluarga di mana tidak semua ahlinya bernasib baik.

"Mungkin abang atau kakak kita berjaya dalam perniagaan hingga menjadi jutawan. Adik kita pula dapat belajar di luar negara dan pulang menjadi ahli profesional yang berpengaruh. Apabila kita lihat dalam cermin, kita jauh ketinggalan dan tidak setanding pun dengan mereka dengan kerja makan gaji kecil setiap bulan serta tinggal di rumah sewa yang sama kecil," katanya.

Pesannya, ingatlah, kejayaan orang lain bukan kegagalan kita. Ini termasuk juga dalam perhubungan adik-beradik. Setiap kejayaan perlu diraikan bukan membandingkan.

"Kerja anda sebagai staf biasa di pasar raya, adalah sumber gaji untuk diri dan keluarga anda. Kalau kakak dan adik anda berhati mulia, mungkin mereka akan berkongsi sedikit rezeki dengan anak-anak anda.

"Kalau mereka menyisihkan keluarga anda pula? Itu kerana hitamnya hati mereka," tambahnya.

Katanya, setiap orang ada kelebihan, termasuk juga dalam kelompok adik-beradik. Persaingan tidak harus menjadi keutamaan, biarlah kita bersaing dengan orang lain.

"Paling wajib ada antara adik-beradik adalah sikap hormat, rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi, di samping memberi sokongan serta bantuan bila diperlukan nanti," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2021 @ 7:00am
d