NUR Fariha.
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Daripada hanya wartawan penyiaran biasa, dek kegigihan dan kesungguhannya, Nur Fariha Onn, 34, kini penerbit rancangan Majalah 3 dan pengacara Malaysia Hari Ini (MHI).

Sebelas tahun lalu, sebaik menamatkan pengajiannya daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan penyiaran, rezekinya murah apabila terus memulakan kerjaya di TV3 sebagai wartawan penyiaran untuk rancangan Medik TV.

“Saya menyertai Medik TV pada musim kedua rancangan itu bersiaran dan sempatlah menimba ilmu selama empat musim. Kemudian saya diserapkan pula dalam rancangan Bersamamu yang juga tidak kurang menawarkan pengalaman pahit dan manis berurusan dengan insan kurang bernasib baik.

“Walaupun hanya setahun dengan Bersamamu, ia banyak menginsafkan saya. Ia bukan setakat melunaskan tanggungjawab saya sebagai wartawan penyiaran malah berpeluang mengenali erti hidup di bumi Allah SWT ini. Kemudian pada 2006, saya diberi tugasan yang lebih besar dan mencabar apabila ditukarkan pula ke Majalah 3 yang ketika itu diacarakan Rozie Pak Wan Chik.

“Selama sembilan tahun saya mencari bahan berita meliputi semua segmen yang disisipkan dalam Majalah 3. Kini dengan segala pengalaman yang ditimba saya diberi peluang menerbitkan rancangan itu pula. Alhamdulillah, saya sentiasa diberi peluang untuk terus meneroka bidang baru apabila bekas bos saya, Ahmad Kamaludin Zabaie, menawarkan pula untuk bersiaran di MHI.

“Meskipun pengacaraan bidang baru bagi saya, saya tetap sahut cabaran itu kerana suka mencuba perkara baru. Ini memang mencabar kemampuan diri kerana buat ‘stand upper’ dalam Medik TV dan Majalah 3 lain kerana skrip untuk bercakap depan lensa kamera sudah siap ditulis dan rakaman juga tak lama hanya untuk siaran seminit dua.

“Pada awal kemunculan saya dalam MHI apatah lagi ia bersiaran secara langsung, saya tak tahu nak ‘adlips’. Penerbit ada bekalkan panduan untuk bercakap dan mengupas sesuatu isu, tetapi apabila saya kehabisan kata-kata, saya tak tahu nak menyampuk dan terus terdiam. Waktu itulah saya perlukan pertolongan senior yang bersama-sama bersiaran untuk menutup kesenyapan saya itu.

“Apabila saya pandang mereka, mereka faham situasi saya ketika itu dan terus menyambung perbincangan yang sedang diperkatakan. Malam sebelum nak bersiaran, saya siapkan nota sama seperti nak menghadapi peperiksaan di universiti dulu. Saya kena catat apa yang saya nak cakap. Penggunaan bahasa juga kena betul,” katanya.

Cabaran lain, pada hari dia nak bersiaran, Fariha akan bangun seawal jam 3 pagi dan dengan tanggungjawabnya sebagai penerbit Majalah 3, dia keluar rumah pagi dan balik keesokan paginya pula.

“Tunggang terbalik hidup saya waktu itu, amat memenatkan, keadaan diri rasa tak stabil dan rasa macam zombi sebab tak cukup rehat dan tidur. Tetapi bak kata pepatah, ‘alah bisa tegal biasa’, kini selepas tiga tahun bersiaran di MHI, saya dapat menyesuaikan diri. Ilmu saya dalam Majalah 3 saya gunakan dalam MHI dan begitulah sebaliknya.

“Kedua-dua rancangan itu mengupas isu semasa yang saya mesti mendengar berita dan membaca akhbar. Ia bagaikan tugas wajib saya. Majalah 3 dan MHI saling berkongsi input yang sama. Sebaik saja selesai bersiaran di MHI jam 9 pagi, saya buat pula Majalah 3.

“Mengendalikan MHI mengajar saya menjadi seorang yang berdisiplin dan tahu betapa susahnya nak cari duit. Dalam seminggu saya bersiaran dua tiga hari purata sebulan dalam 8 hingga 10 kali kecuali ada pengacara yang bercuti lama, saya akan menggantikan tempat mereka,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Kelihatan rumit, jadual kerja yang padat, namun Fariha amat mencintai kerjayanya dan berazam terus memperbaiki diri serta melakukan yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 11:49 AM