Bola Sepak

Eriksen mula jalani latihan

Oleh Agensi

Copenhagen: Pemain tengah Inter Milan, Christian Eriksen mula menjalani latihan sendirian di kelab Denmark yang diwakili ketika remaja ketika dia meneruskan proses pemulihan selepas berdepan masalah jantung di Euro 2020.

Pemain berusia 29 tahun itu, rebah di atas padang ketika beraksi untuk Denmark pada Jun lalu.

Selepas kejadian itu dia disahkan perlu perlu memakai defibrillator jantung (ICD) sekali gus tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Serie A di Itali.

Kelab Denmark, Odense Boldklub (OB) berkata Eriksen menggunakan kemudahan di padang latihan mereka.

"Eriksen bersama kami dan dia kini menjalani latihan sendiri," kata jurucakap OB.

"Ia sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya sejak dia beraksi di sini ketika remaja dan tinggal berhampiran. Kami sangat gembira untuk menyediakan kemudahan latihan buatnya."

Eriksen mewakili OB dari 2005 ke 2008 sebelum menyertai kelab Belanda, Ajax.

Selepas tujuh tahun bersama Tottenham, dia menyertai Inter pada 2020.

Juara Itali itu memaklumkan mereka sudah bersedia melepaskannya selepas pihak berkuasa kesihatan negeri melarang pemain itu daripada beraksi di Serie A.

Disiarkan pada: December 4, 2021 @ 10:02pm
d