mutakhir

Agensi pelaburan diminta mudahkan prosedur, tarik minat pelabur

Oleh Mohamed Farid Noh

Pontian: Agensi berkaitan diminta memudahkan cara proses dan prosedur bagi pelabur yang ingin membuat pelaburan di Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, dalam keadaan ekonomi kini, iklim pelaburan yang semakin kompetetif, pelabur mempunyai banyak pilihan bagi menjaga kepentingan pelaburan syarikat mereka.

Menurutnya, disebabkan itu semua pihak harus bekerjasama dan terus berusaha dalam menjadikan Johor destinasi pilihan pelabur.

"Mengekalkan (pelaburan) yang sedia ada tidak cukup baik. Kita perlukan lebih banyak pelaburan datang ke negara kita.

"Oleh itu, memudah cara untuk pelabur melabur di Johor juga adalah satu kepentingan supaya dalam tata kelola kita menguruskan pelaburan ia mesra kepada pelabur.

"Tata kelola yang kita perkenalkan itu harus membolehkan pelabur terus ada keyakinan terhadap negeri dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perindusterian Tropicana Industrial Park, di sini, semalam.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, Johor juga seharusnya menggunakan sebaik-baiknya potensi yang ada, termasuk kedudukannya yang strategik kerana berjiran dengan negara maju seperti Singapura.

"Kita perlu terus menjadikan Johor ini sebagai negeri pilihan pelabur kerana kita adalah negeri yang begitu unik dan strategik," katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2021 @ 1:09pm
d