sihat

Pengaruhi keberkesanan vaksin

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

VIRUS adalah sejenis mikroorganisme yang tidak boleh membiak sendiri dan memerlukan perumah seperti manusia atau haiwan untuk membiak.

Pembiakan atau replikasi virus berupaya menghasilkan beribu-ribu 'anak' atau virus baharu.

Virus secara umumnya mempunyai sistem 'proofreading' untuk memastikan virus baharu yang terhasil mempunyai ciri yang sama dengan induk (ibu).

Namun, bagi virus jenis RNA seperti koronavirus, sistem proofreading tidak begitu efisien menyebabkan kemungkinan virus baharu mempunyai ciri berbeza disebabkan kesilapan semasa proses meniru susunan genetik virus induk.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamad berkata, perubahan pada susunan genetik dinamakan sebagai mutasi.

Perubahan genetik berlaku setiap kali proses replikasi terjadi.

Menurutnya, perubahan boleh berlaku pada satu atau banyak tempat.

"Kebanyakan mutasi dikategorikan sebagai minor yang keadaan ini tidak mempengaruhi struktur atau tingkah laku virus.

"Mutasi major pula boleh mengubah virus sama ada menjadi lebih baik, ganas atau sama tingkah laku dengan virus asal.

"Varian ialah terma yang merujuk kepada virus yang sudah bermutasi dan berbeza daripada virus asal. Mutasi virus berlaku semasa proses replikasi atau pembiakan yang berlaku di dalam badan individu dijangkiti," katanya.

Dr Nurul Azmawati berkata, apabila ramai yang dijangkiti, banyaklah replikasi virus berlaku dan banyak kemungkinan untuk berlakunya mutasi dan terhasilnya varian baharu.

"Bagi virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan Covid-19, beberapa varian dikenal pasti. Antaranya Alpha, Beta, Delta dan terbaharu ialah Omicron.

"Varian ini mempunyai mutasi di beberapa tempat terutama di bahagian 'spike' virus.

"Contoh, varian Delta mempunyai 17 mutasi manakala varian Omicron mempunyai 50 bahagian yang bermutasi yang 32 daripadanya membabitkan struktur spike," katanya.

Jelas Dr Nurul Azmawati, spike adalah struktur penting virus yang membantu virus memasuki sel manusia melalui reseptor ACE-2.

Kata Dr Nurul Azmawati, mutasi pada spike menyebabkan kebolehjangkitan lebih tinggi kerana virus lebih mudah memasuki sel.

"Spike juga adalah sasaran utama vaksin Covid-19. Apabila menerima vaksin, sistem imun akan menghasilkan sel memori dan antibodi terhadap bahagian spike virus.

"Vaksin Covid-19 sedia ada mengguna pakai antigen atau kod genetik bahagian spike virus asal (Wuhan) yang belum bermutasi.

"Ini bermakna antibodi yang dihasilkan oleh vaksin sangat berkesan terhadap virus asal," katanya.

Dr Nurul Azmawati yang juga pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Usim berkata, apabila seseorang dijangkiti virus varian, antibodi mungkin mengalami kesukaran untuk mengecam virus kerana terdapat perbezaan akibat mutasi.

"Ini boleh menyebabkan peratus keberkesanan vaksin berkurang seperti yang berlaku kepada varian Delta.

"Bagi varian Omicron, keberkesanan vaksin masih dalam kajian, namun berkemungkinan besar ia juga berkurang.

"Oleh kerana jumlah mutasi spike bagi varian Omicron lebih tinggi berbanding varian Delta, kesan jangkitan Omicron dijangka menyebabkan kenaikan kes dan kematian mendadak," katanya.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Usim Dr Saarah Huuerieyah Wan Rosli berkata, kebanyakan negara sudah mengambil tindakan proaktif untuk mengekang penularan varian berkenaan.

Kata Dr Saarah Huuerieyah, sebagai rekod, United Kingdom dan Amerika Syarikat mengeluarkan garis panduan baharu bagi pengembara yang memasuki negara itu dari Afrika.

"Pihak berkuasa Jepun juga mengarahkan syarikat penerbangan negara itu menghentikan tempahan penerbangan antarabangsa sehingga akhir tahun ini.

"Lebih membimbangkan, Kementerian Kesihatan Malaysia sudah pun mengesan kes pertama varian Omicron membabitkan seorang penuntut universiti swasta di Ipoh, Perak.

"Penuntut ini didapati positif Covid-19 pada 19 November dan selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November lalu," katanya.

Kata Dr Saarah Huuerieyah, penjujukan genom ke atas sampel pesakit pada 2 Disember mendapati ia adalah varian yang membimbangkan (VOC) Omicron.

"Berdasarkan sumber daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tahap penularan dan kadar kebolehjangkitan varian baharu ini masih dalam kajian.

"Data daripada kajian dan penyelidikan amat diperlukan untuk menentukan sama ada varian Omicron ini lebih berbahaya daripada varian Delta, daripada segi kadar jangkitan, kemasukan ke hospital, tahap keterukan gejala dan juga kematian.

"Namun begitu, sehingga sekarang, jangkitan Covid-19 oleh varian Omicron, masih boleh dikesan dengan teknik pengesanan virus sedia ada iaitu 'Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction' (RT-PCR)," katanya.

Beliau berkata, dengan kewujudan pelbagai jenis varian, adakah vaksin masih relevan?

Menjelaskan dengan lebih lanjut, kata Dr Saarah Huuerieyah, vaksinasi mengurangkan kadar jangkitan, maka mutasi kurang berlaku.

"Tidak dinafikan mereka divaksin juga boleh dijangkiti, namun antibodi yang dirangsang oleh vaksin mempercepatkan proses penyingkiran virus, jadi tidak banyak replikasi berlaku dan tempoh penularan juga singkat.

"Vaksin masih boleh memberi perlindungan (walaupun mungkin berkurang) dan mengurangkan risiko jangkitan teruk berbanding jika tidak mengambil vaksin.

"Bagi yang tidak mengambil vaksin, mereka lebih berisiko dijangkiti dan sistem imun memerlukan masa yang lama untuk bertindak balas. Ini menyebabkan banyak replikasi berlaku serta risiko mutasi juga tinggi," katanya.

Dr Saarah Huuerieyah berkata, melihat kepada perkembangan sekarang, beliau berpendapat, formulasi baharu vaksin perlu dikeluarkan segera.

"Beberapa syarikat sudah mula menjalankan penyelidikan dan proses pembuatan dijangka tidak mengambil masa yang lama seperti ketika vaksin mula dikeluarkan.

"Vaksin Covid-19 dilihat akan menjadi seperti vaksin influenza apabila formulasi baharu dicipta setiap tahun berdasarkan strain/varian yang mendominasi.

"Di samping itu, kita perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa berwaspada kerana ia boleh mengurangkan kewujudan varian dengan membantu mengurangkan kadar jangkitan," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2021 @ 7:00am
d