setempat

Terokai pengalaman ke seluruh dunia di Tradex 2021

Oleh Hanis Aliaa Hidzir

QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan sokongan penuh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan Tradex Exponanza 2021 (Tradex 2021) pada 17 hingga 22 Disember, bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, di sini.

Penganjuran Tradex 2021 selaras dengan misi MATRADE sebagai barisan hadapan ekonomi bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam pemulihan pasca pandemik.

Tradex 2021 juga memberi peluang kepada perusahaan mempamerkan produk dan perkhidmatan, memperkenalkan produk baharu serta mencipta kesedaran jenama kepada pengunjung dan pasaran tempatan.

Menariknya kali ini, Tradex 2021 bukan sahaja menampilkan pameran dan jualan barangan malah terdapat pelbagai persembahan dan aktiviti menarik untuk pengunjung terokai bersama seisi keluarga.

Galeri swafoto

Bagi pengunjung yang rindukan percutian ke luar negara, abadikan detik indah di enam galeri swafoto ikonik yang menampilkan negara Thailand, Korea Selatan, Jepun, China, Perancis dan United Kingdom.

Tidak ketinggalan, terdapat juga galeri swafoto di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pengunjung yang mahukan suasana sebelum berlepas ke luar negara.

Persembahan artis tanah air

Bakal diadakan di MATRADE Exhibition and Convention Centre (MECC), ekspo ini turut bakal dimeriahkan dengan persembahan daripada artis tempatan.

Konsert mini akan diadakan pada setiap hari jam 8 malam sepanjang Tradex 2021 berlangsung selama enam hari mulai 17 sehingga 22 Disember 2021.

Antara artis yang akan mengadakan persembahan termasuk Hael Husaini, Caliph Buskers, Azlan & The Typewriter, SonaOne, Keena Mentor, Erul Samah, Nadia Hasnan, Kay AF, Kristal serta OAG.

Zoo mini

Lebih menarik, pengunjung bersama anak kecil juga berpeluang mendekati haiwan seperti kucing, arnab, tikus belanda, ular dan kura-kura di zoo mini Tradex 2021 pada 17 sehingga 19 Disember 2021.

Pengunjung bukan sahaja berpeluang memberi makan malah dapat bermain dengan haiwan-haiwan comel serta merasai pengalaman menyeronokkan dan mesra keluarga ini.

Selain itu, terdapat banyak lagi acara menarik menanti pengunjung di Tradex 2021 termasuk demo masakan, persembahan buskers, pertunjukan fesyen, konvensyen kecergasan, pameran kerjaya serta Jualan Akhir Tahun Exponanza.

Tradex 2021 bakal diadakan MATRADE Exhibition and Convention Centre (MECC), Dewan A dan B, Menara MATRADE, Kuala Lumpur. - FOTO New Straits Times

Kemasukan ke Jualan Akhir Tahun Exponanza, pameran kerjaya dan pesta trak makanan adalah percuma manakala untuk akses penuh Tradex 2021 boleh didapati di pautan ini

Ayuh kunjungi Tradex 2021 yang turut disokong oleh MATRADE di MECC bermula 17 sehingga 22 Disember 2021 dari 10 pagi hingga 10 malam.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi Tradex 2021.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 7:53pm
d