akademia

Hantar buku ke kolej kediaman

Oleh Nazri Abu Bakar

Dalam usaha tampil kreatif meningkatkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka memperkenalkan konsep penghantaran buku seperti perkhidmatan penghantaran yang popular hari ini.

Tanpa mengenakan bayaran buku yang dipinjam dihantar ke kolej kediaman pelajar terutama kepada mereka yang menghadapi masalah kesihatan dan pengangkutan.

Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Melaka, Noor Hayati Abu Kassim berkata, konsep Book Delivery Services (BDS) berkenaan mula dicadang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sebelum ini.

Katanya, ia antara pendekatan kreatif dan fleksibel bagi menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda terutama dalam era minat pembaca yang berubah kepada media sosial serta buku elektronik.

Menurutnya, dengan pendekatan itu, pihaknya juga mengatasi masalah kesibukan atau kekangan pelajar untuk ke perpustakaan dalam masa sama boleh membuat rujukan dengan buku yang dipinjam.

"Buat pertama kalinya kami memperkenallan konsep BDS yang membolehkan buku dimanfaat pelajar sebagai rujukan dan bahan pembelajaran mereka.

"Sehubungan itu buat masa ini kami menyediakan tiga beg penghantaran yang turut membabitkan PTAR UiTM Alor Gajah, Kampus Bandaraya Melaka (KBM) dan Jasin," katanya.

Malah, pihaknya juga terus mempromosi perpustakaan sebagai lokasi seronok untuk dikunjungi menerusi kepelbagaian fungsi yang menceriakan.

Noor Hayati berkata, pihaknya juga turut mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan warga kampus berkenaan termasuk 'indoor game,' pinjaman tertinggi antara kolej dan kuiz dalam menarik minat mahasiswa mengunjungi perpustakaan.

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 6:35am
d