mutakhir

KKM bimbang ancaman penyakit bawaan air ketika banjir [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Banjir yang melanda beberapa negeri dikhuatiri mengundang peningkatan penyakit bawaan air dan makanan dalam kalangan mangsa bencana alam itu.

Antaranya ialah penyakit kepialu, taun, disentri, demam, jangkitan pernafasan akut, leptospirosis, denggi dan keracunan makanan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, namun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes denggi, leptospirosis atau keracunan makanan.

Katanya, walaupun dilaporkan sebanyak 267 kes positif Covid-19 setakat ini, pihaknya juga menjangka peningkatan penyakit bawaan air dan makanan dalam kalangan mangsa banjir.

"Namun, keadaan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) adalah terkawal dan kementerian juga menubuhkan pasukan khas bagi menguji kualiti air dan makanan di PPS.

"Makanan itu akan diuji bagi memastikan ia selamat dimakan, sehubungan itu kami menasihati mereka supaya melakukan ujian terlebih dahulu sekiranya mahu menderma apa-apa barangan makanan," katanya kepada media di sini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran Pusat Perubatan Amal Kek Lok Si, hospital Buddha tidak berasaskan keuntungan yang pertama di Pulau Pinang dan hadir sama ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir dikesan sebelum dibawa ke PPS dan kebanyakannya adalah kategori satu dan dua.

Katanya, individu yang diuji positif sudah diasingkan sewajarnya dan tiada kes Covid-19 atau kluster dilaporkan dalam mana-mana PPS.

"Kita nasihatkan semua mangsa banjir, penyelamat dan sukarelawan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada setiap masa bagi memastikan keselamatan semua.

"Walaupun kami faham mungkin sukar bagi mematuhi SOP yang ketat, diharap SOP itu masih ada," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2021 @ 4:15pm
d