mutakhir

8 restoran dikompaun RM2,200 [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Nerus: Lapan restoran di negeri ini dikompaun berjumlah RM2,200 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menerusi Ops Menu yang bermula 6 November hingga Selasa lalu.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, enam daripada pengusaha restoran berkenaan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) kerana gagal mempamerkan tanda harga, manakala dua lagi dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Sukat (ATS).

Menurutnya, sebanyak 509 restoran terutamanya kedai makan masakan panas di seluruh negeri diperiksa dalam operasi menu.

"Dua kes membabitkan kesalahan AKHAP 2011 membabitkan pengusaha restoran di daerah Kuala Terengganu, manakala enam kes membabitkan pengusaha restoran di daerah Kemaman.

"Dua kes kesalahan ATS membabitkan pengusaha restoran di daerah Besut dan Dungun," katanya kepada media sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sini, hari ini.

Majlis pelancaran SHMMP Krismas itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Mohd Norkhuzaini Ab Rahman.

Yang turut hadir adalah Pengurus Kawasan Pantai Timur Mydin Mall RS Naidu.

Mengulas mengenai dakwaan kenaikan harga pakaian sekolah, Saharuddin berkata, KPDNHEP negeri melancarkan operasi pakaian seragam sekolah sejak Isnin lalu.

Katanya, sebanyak 14 premis yang menjual pakaian seragam sekolah diperiksa sehingga semalam.

"Setakat ini, semua peniaga pakaian seragam sekolah mematuhi penetapan harga ditetapkan kerajaan.

"Tumpuan utama pemeriksaan adalah membabitkan 27 jenis barangan terutama baju kurung, baju kemeja lengan pendek dan kasut sekolah," katanya.

Saharuddin berkata, operasi itu diadakan bertujuan mengekang kenaikan pakaian seragam sekolah.

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 2:35pm
d