mutakhir

ATM atur gerak anggota, aset ke 86 lokasi dijangka banjir [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaturgerak anggota dan aset ke 86 lokasi di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi gelombang kedua banjir bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi berkaitan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia membabitkan 115 pegawai, 2,765 anggota, 160 unit trak tiga tan, 129 unit bot, 109 unit enjin bot dan enam unit trak tujuh tan.

Katanya, ATM meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang banjir kedua termasuk meletakkan satu Batalion dalam keadaan bersedia di setiap negeri, untuk diatur gerak ke lokasi banjir.

"Saya sudah mengarahkan Panglima ATM serta Panglima-Panglima Perkhidmatan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota ATM terutama di negeri-negeri banjir, berada pada tahap tertinggi.

"Ia penting demi memastikan atur gerak anggota dan aset dapat dilaksanakan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan, sekali gus membolehkan operasi menyelamat mangsa banjir digerakkan pada masa yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan tinjauan di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 bgd).

Disiarkan pada: December 30, 2021 @ 3:13pm
d