mutakhir

Saftta bantah pengumuman kerajaan tangguh perjalanan umrah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta) membantah pengumuman kerajaan menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.

Presidennya Dr Fathir Alhadad berkata, banyak pilihan lain yang boleh diguna pakai sebelum membuat keputusan penangguhan itu dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, antara pilihan lain ialah mewajibkan semua jemaah yang pulang untuk kuarantin wajib di fasiliti diiktiraf Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan tiada kuarantin di rumah.

"Selain itu, usah benarkan umrah secara sendiri, berbanding bersama agensi pelancongan berdaftar, perjalanan dipantau dan disusun kemas.

"Contoh paling mudah jika pergi secara sendiri... jemaah akan bercampur-campur (tanpa SOP) untuk membeli makanan dan ia sekali gus meningkatkan tahap risiko jangkitan," katanya kepada Harian Metro.

Fathir berkata, kerajaan Arab Saudi juga sudah mengetatkan kembali SOP umrah seperti hanya membenarkan umrah 10 hari selepas umrah pertama dan penjarakan solat di dalam masjid.

"Varian Omicron Covid-19 dilaporkan sangat lemah tetapi mudah berjangkit... justeru langkah mengetatkan SOP dirasakan sangat sesuai.

"Kerugian daripada penangguhan ini sangat besar, ini kerana agensi pelancongan baru sahaja menyusun jemaah yang tertangguh perjalanan sejak Mac 2020," katanya.

Beliau berkata, kini jemaah yang baru sahaja mendaftar dan ingin mengerjakan umrah pada Januari mula gelisah dan membatalkan tempahan.

"Jadi dengan notis seminggu yang diberikan kerajaan adalah seperti ingin membunuh ekonomi negara dan agensi pelancongan.

"Saftta juga bersetuju jika kerajaan mewajibkan pengambilan dos penggalak kepada semua bakal jemaah," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2022 @ 5:22pm
d