mutakhir

Jantung berlubang, bayi sembilan bulan perlu dana RM80,000

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Sepasang suami isteri diuji apabila cahaya mata pertama mereka disahkan menghidap jantung berlubang dan perlu dibedah segera dengan kos pembedahan dianggarkan RM80,000.

Mohd Hairul Hafis Hashim, 25, dan isterinya, Najwa Fazira Mohd Fazli, 23, yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang tidak mampu menampung kos pembedahan berkenaan.

Berikutan itu, mereka berdua merujuk kepada pihak pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), di sini bagi membantu membiayai kos pembedahan bayi perempuan mereka, Nayra Ufaira Hairul yang kini berusia sembilan bulan.

Pengerusi One Hope, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nayra Ufaira dikesan mempunyai masalah jantung ketika berusia enam bulan, namun pembedahan tidak dapat dijalankan memandangkan saiz badannya yang terlalu kecil.

"Oleh itu, doktor pakar memutuskan pembedahan perlu dijalankan serta merta apabila berat badan adik Nayra Ufaira mencapai lima kilogram (kg).

"Kini, berat badannya sudah lebih dari lima kg tetapi ibu bapanya buntu kerana tidak mampu menampung kos pembedahan dianggarkan lebih RM80,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sui Hau berkata, ibu bapa kepada bayi itu memberi kebenaran kepada pihak One Hope Charity bagi mengumpul dana dan menguruskan rawatan dengan pihak hospital.

"Selepas membuat beberapa pengesahan kami bersetuju untuk membantu pasangan ini mengutip dana daripada orang awam," katanya.

Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212.

Disiarkan pada: January 3, 2022 @ 4:29pm
d