mutakhir

Kasiswa buka pusat pengumpulan sumbangan banjir

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Persatuan Kasih Mahasiswa Malaysia (Kasiswa) membuka pusat pengumpulan bantuan sumbangan syarikat korporat, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Sepang dan Hulu Langat.

Lokasi pengumpulan yang dibuka berhampiran Pusat Kejiranan Presint 9 di sini itu beroperasi bermula 9 pagi hingga 9 malam, dikendalikan sukarelawan Kasiswa.

Ketua penyelaras Kasiswa Muhammad Khairul Farhan Mohd Rakbi berkata, pihaknya menyasarkan bantuan barangan elektrik seperti cerek, kipas angin, periuk nasi, dapur gas, kuali, selimut dan bantal untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, langkah pembukaan pusat pengumpulan bantuan sehenti itu bagi memudahkan orang ramai menghantar barang diperlukan mangsa banjir ke lokasi yang ditetapkan.

Katanya, inisiatif mengadakan sumbangan barangan elektrik ini selepas melihat ramai mangsa yang berhadapan kerosakan barangan berkenaan selepas ditenggelami air.

"Sebelum ini kami berjaya mengumpul wang tunai RM32,000 dan sudah diagihkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) antaranya di PPS Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya, PPS Kampung Baru Hicom, PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato Ahmad Razali, Dengkil dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil," katanya ketika ditemui hari ini.

Kasiswa diwujudkan sejak 2015 dan ahlinya terdiri dalam kalangan pelajar dan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum ini Kasiswa menghantar 50 penuntut UKM dan 20 sukarelawan bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat, Taman Sri Muda, Shah Alam dan Dengkil di Kampung Seri Tanjung dan Kampung Chemperai.

Khairul berkata, pusat bantuan barangan ini diadakan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan sekiranya ada keperluan mendesak pihaknya akan melanjutkan tempoh sumbangan.

Katanya, wang tunai pula boleh disalurkan melalui Persatuan Kasih Mahasiswa Malaysia (Kasiswa) di nombor akaun Maybank 562263553547.

"Orang ramai dijemput untuk memberi sumbangan dan Kasiswa akan menyelaraskan semua bantuan diterima untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

"Setakat ini pihak kami menerima sambutan menggalakkan dari orang ramai termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyumbang beras dan makanan," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung sumbangan ini, boleh berhubung dengan sukarelawan Kasiswa di talian 012-2520682 (Saiful) dan 017-2123654 (Azfa).

Disiarkan pada: January 3, 2022 @ 9:40pm
d