mutakhir

Sorok pil kuda dalam poket baju

Oleh Siti Rohana Idris

Rantau Panjang: Wanita warga Thailand ditahan bersama 87 pil kuda dan 3.02 gram syabu yang ditemukan dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Bagus di sini, malam tadi.

Serbuan dibuat sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam Op Wawasan pada jam 8.15 malam tadi yang menahan wanita berusia 46 tahun yang berada dalam rumah kedai terbabit.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, hasil pemeriksaan dalam bilik menjumpai 87 pil kuda dan ketulan kristal dipercayai syabu dalam poket baju tergantung di belakang pintu bilik.

"Semua dadah itu dianggarkan bernilai RM1,170 dan hasil soal siasat yang dibuat wanita itu memberitahu dadah berkenaan dimiliki suaminya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam satu lagi rampasan, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang ditahan di cabang tiga Kampung Bagus oleh sepasukan anggota yang sedang melakukan rondaan bermotosikal pada jam 8.30 malam.

Azhari berkata, lelaki itu dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan dibuat pada badan suspek menemui 22 pil kuda serta 0.07 gram serbuk putih dipercayai heroin dianggarkan bernilai RM227.

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha 125ZR bernilai RM10,300.

"Ujian saringan yang dibuat mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) ADB 1952. Semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2022 @ 3:29pm
d