mutakhir

Malaysia di tangga ke-13 dalam senarai pemulihan Covid-19

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Malaysia ketika ini berada di kedudukan ke-13 berbanding tempat ke-115 pada Ogos tahun lalu dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei atau Nikkei's Covid Recovery Index.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kedudukan itu menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan tepat menuju situasi lebih baik dan semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik serta langkah penjarakan sosial lebih longgar.

"Bagi pihak kerajaan khususnya Menteri-Menteri Kuartet, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak terutama petugas barisan hadapan dan rakyat yang cekal, tabah, kuat semangat serta berdisiplin dalam melaksanakan segala usaha demi menangani penularan wabak ini termasuk mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Usaha baik ini mesti berterusan dan kita tidak boleh cepat berpuas hati. Keutamaan kerajaan kini adalah menurunkan jumlah kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi khususnya dos penggalak dan membawa negara ke Fasa 'Peralihan ke Endemik'.

"Ia bukan mudah namun kita berkemampuan untuk melaksanakannya dengan syarat semua pihak mesti kekal berwaspada, terus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mematuhi SOP, yakin dengan keberkesanan vaksin termasuk dos penggalak, melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala dan mengamalkan TRIIS dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan varian Omicron di negara ini.

"Dalam Mesyuarat Kuartet yang saya pengerusikan hari ini sekali lagi memberi tumpuan terhadap perkembangan terkini situasi penularan Covid-19 dalam negara khususnya varian Omicron.

"Mengambil kira pembentangan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebentar tadi, setakat ini, sebanyak 245 kes Omicron disahkan di Malaysia.

"Sebahagian besar kes jangkitan varian ini di negara kita masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang melakukan pemantauan rapi dan sentiasa mengambil kira laporan semasa dari Pertubuhan Kesihatan Dunia serta negara yang terkesan dengan penularan varian ini.

"Kerajaan tidak menolak untuk mengambil langkah lebih ketat termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.

"Namun penting juga untuk saya tegaskan, pendekatan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2022 @ 6:20pm
d