WM

Bencana pengaruhi emosi

Oleh Nurul Husna Mahmud

BENCANA banjir besar pada bulan lalu yang melanda beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang memberi impak ketara pada pandangan fizikal termasuk kehilangan tempat tinggal, harta dan aset.

Kehilangan dan kemusnahan itu juga bermakna bebanan kewangan serta keselesaan hidup mangsa banjir terjejas selain mempengaruhi elemen lain termasuk mental dan psikologi mereka.

Permasalahan sosial pasca banjir antara yang terlepas pandang iaitu kemungkinan kadar kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan(VAWG). Khususnya kes keganasan rumah tangga (KRT).

Keresahan terhadap kemungkinan peningkatan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak seiring dengan pertambahan kes keganasan rumah tangga itu disuarakan Pegawai Kanan Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Rusni Jaafar, yang melihat pola insiden keganasan itu pernah terjadi ketika rakyat menghadapi pandemik sejak tahun 2020 lagi.

"Jangkaan kami kemungkinan terdapat peningkatan dalam kes VAWG dan KRT ketika pasca banjir berdasarkan kajian serta

pengalaman pandemik Covid-19. WAO menyaksikan peningkatan kes keganasan sebanyak dua kali ganda pada gelombang pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

"Kini banjir melanda dan 'melumpuhkan' beberapa buah negeri. Langkah berjaga-jaga untuk membendung peningkatan kes VAWG dan KRT, tindakan proaktif dan segera harus diambil dalam sistem pengurusan bencana.

"Turut merisaukan, masalah yang membabitkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak termasuklah yang berlaku dalam hubungan rumah tangga, tiada bezanya antara golongan B40 mahupun M20. Ia berlaku dalam pelbagai peringkat usia pasangan dan perkahwinan. Namun ia lebih nyata pada kes yang pernah dilaporkan (kes berulang)," katanya.

Tambah Rusni lagi, bencana juga antara faktor luaran yang mampu mempengaruhi emosi dan psikologi sehingga mendorong kepada permasalahan keganasan terhadap wanita atau rumah tangga.

"Terdapat kajian yang dilakukan di United Kingdom (UK) mengenai hubung kait bencana alam dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

"Hasil kajian menunjukkan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan turut meningkat selepas bencana.

"Biasanya mangsa terutama wanita mempunyai keperluan tertentu akibat banjir. Tindak balas segera seperti pakej bantuan ekonomi yang sensitif gender, bantuan kewangan terutamanya kepada ibu tunggal, tempat pelindungan wanita (dan penyedia perkhidmatan lain) tidak menghadapi halangan untuk beroperasi," katanya.

Oleh itu, pihaknya mencadangkan enam langkah perlu diambil untuk pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terutamanya Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT) dan pihak yang berwajib mengambil inisiatif menangani masalah berkenaan.

Enam langkah berikut adalah:

1) Memastikan laluan sedia ada untuk mendapatkan bantuan tidak terganggu termasuk bantuan mendapatkan perkhidmatan pengangkutan dan keselamatan kepada mangsa KRT dan VAWG

Banjir besar menyebabkan mangsa sukar untuk mendapatkan pengangkutan dan bantuan disebabkan oleh kenderaan seperti kereta, motorsikal dan basikal yang dimiliki rosak atau tidak mempunyai wang mencukupi menaiki pengangkutan awam.

2) Sumber kerajaan harus mengutamakan tindak balas terhadap KRT dan VAWG apabila bencana alam berlaku

Lebih banyak sumber mesti diperuntukan sebagai tindak balas kepada bencana alam seperti banjir besar yang berlaku. Kita mesti melihat tindak balas VAWG adalah sebahagian daripada tindak balas bencana dan meletakkan sebagai satu keutamaan. Adalah penting agar kerajaan tidak mengalihkan sumber (sama ada sengaja atau tidak) jauh daripada tindak balas VAWG.

3) Tempat perlindungan wanita (dan penyedia perkhidmatan lain) tidak menghadapi halangan untuk beroperasi dan mendapat bantuan kos operasi dari kerajaan

Tempat perlindungan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdepan peningkatan kos pengoperasian disebabkan peningkatan kes KRT. Ini untuk memastikan tempat perlindungan sentiasa memenuhi piawaian dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan seperti sanitasi, ujian Covid-19, ruang fizikal yang banyak bagi setiap mangsa terselamat dan menguruskan bebas kes yang lebih banyak.

4) Menubuhkan sistem penyelarasan di antara pasukan pengurusan bencana, pasukan penguatkuasaan undang-undang, Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga (JKRT) dan pihak berkuasa kesihatan untuk mencegah VAWG dan merawat kesihatan kesan dari krisis bencana alam.

5) Pakej bantuan ekonomi haruslah sensitif gender terutamanya mangsa yang mengalami krisis banjir dengan memastikan wanita dalam proses perceraian boleh mendapatkan bantuan, sama ada wanita atau lelaki yang layak sebagai 'ketua isi rumah' layak untuk mendapatkan bantuan, dan peruntukan khas untuk ibu tunggal.

6) Komunikasi dan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) harus berterusan dan merangkumi pesanan penting:

  • Keganasan rumah tangga adalah salah di sisi undang-undang dan mangsa berhak mendapatkan pertolongan walaupun ketika dalam pasca banjir,
  • Saluran sokongan yang masih dapat diperolehi mangsa yang mengalami KRT walaupun ketika dalam krisis banjir
  • Kaedah penyampaian pesanan khidmat masyarakat mengenai VAWG dipelbagaikan.

    Sementara itu, kaunselor keluarga Hushim Salleh berkata, masalah komunikasi dan sejarah konflik dalam rumah tangga tidak diselesaikan dengan baik boleh menjadi bertambah buruk apabila menjadi mangsa kepada bencana alam.

    "Penting sekali selepas bantuan makanan dan kewangan ialah sokongan mental serta emosi kerana dalam tempoh ini biasanya mangsa banjir tertekan terutama perlu hidup dalam keadaan serba kekurangan.

    "Keperluan biologi, fisiologi dan lain-lain tidak mencukupi menjadi beban lebih berat untuk masalah remeh pasangan sebelum ini. Keadaan lebih buruk jika pasangan memiliki sejarah 'hitam' dalam hubungan menjadikan bencana pemangkin kepada krisis keganasan rumah tangga," katanya.

    Justeru itu, pihaknya menggesa lebih ramai kaunselor dan psikologi diletakkan di kawasan bencana, lawatan serta tinjauan ke rumah-rumah mangsa perlu dilakukan bagi memantau tahap kesejahteraan mental selain psikologi mereka.

    "Sebenarnya ketika banjir baik lelaki dan perempuan mereka ini letih dari segenap segi. Letih fizikal kerana perlu bersihkan rumah dan sediakan tempat tinggal selesa untuk keluarga dan anak-anak.

    "Secara tidak langsung ini menjejaskan emosi dan mental mereka kerana rutin harian seperti bekerja masih perlu diteruskan. Apatah lagi ada antara mereka terkesan dengan pandemik dan keadaan ini memberi beban kepada hubungan rumah tangga.

    "Apabila masing-masing tidak dapat kawal emosi dan tiada pihak yang boleh menjadi pendengar, isteri serta anak-anak menjadi mangsa kepada perlakuan ganas suami itu tadi," katanya.

    Pihaknya juga menyarankan kerajaan menggaji lebih ramai kaunselor bagi membantu masyarakat di Malaysia. Nisbah kaunselor ketika ini satu untuk setiap 52,000 orang berbanding kadar sepatutnya iaitu satu untuk setiap 500 orang.

  • Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 7:00am
    d