mutakhir

Lelaki rentung dalam kebakaran kedai perabot

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang pekerja ditemui rentung manakala dua lagi selamat dalam kejadian kebakaran sebuah kedai perabot di Kampung Cheras Baru di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kebakaran pada jam 2.42 pagi.

Komander Operasi Mohd Khairul Azmi Jaafar berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Bandar Tun Razak, Sungai Besi serta Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, seramai 37 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan.

"Sebaik tiba jam 2.50 pagi didapati sebuah kedai membuat barangan perabot musnah terbakar 100 peratus.

"Semasa pemadaman, anggota melalui kesukaran kerana arus elektrik yang mengalir. Namun kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan bersebelahan dengan menggunakan kaedah pemadaman dari dalam dan luar premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.30 pagi.

"Terdapat tiga mangsa terperangkap iaitu dua lelaki tempatan berusia 50-an berjaya dikeluarkan anggota dengan selamat manakala seorang lelaki tempatan berusia 60-an ditemui mati rentung," katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: January 21, 2022 @ 12:21pm
d