Bola Sepak

Tonggak import TFC diketahui bulan depan

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akan memutuskan lima pemain import yang bakal beraksi bersama skuad itu selepas kejohanan empat penjuru berlangsung awal bulan depan.

Jurulatih meningkat naik itu berkata, buat masa ini beliau masih lagi dalam proses menilai prestasi semasa lapan pemain import berkenaan.

"Selepas aksi empat penjuru dan aksi persahabatan di Kuala Lumpur, Insya-Allah kita akan putuskan lima pemain import terbaik yang bakal menggalas cabaran pasukan TFC musim ini.

"Kita akan putuskan sebelum Liga Super bermula bagi memberi peluang buat pemain yang tidak tersenarai dalam skuad utama berlatih dengan Terengganu FC II (TFC II) yang juga memerlukan masa untuk melakukan persediaan menghadapi Liga Perdana," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, semalam.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan pasukan selepas lebih sebulan menjalani latihan, beliau menjelaskan dalam proses untuk memantapkan lagi pasukan.

"Setakat ini masih dalam proses memantapkan lagi pasukan termasuk keserasian dan kecergasan pemain. Dengan masa yang ada kira-kira enam minggu lagi sebelum aksi pertama liga, jadi saya rasakan mencukupi buat kami melakukan persediaan rapi, lagipun semua pemain import sudah tiba.

"Dengan aksi kompetitif iaitu kejohanan empat penjuru bermula 5 hingga 9 Februari di Kuala Terengganu dan selepas itu pada 17 hingga 20 TFC bakal 'berkampung' di Kuala Lumpur bertembung dengan Kelantan FC, Selangor FC dan PDRM FC, kita yakin dapat membentuk gandingan mantap," katanya.

Musim ini Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, mengikat tiga penyerang import iaitu Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast) dan Jordan Mintah (Ghana) manakala Argzim Redzovic (Montenegro), Luke Woodland (Filipina) dan Pape Diakite dari Senegal mengisi posisi pertahanan.

Pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon dan pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott mengisi posisi jentera tengah.Terengganu akan membuat perhitungan pertama Liga Super bertemu pasukan jiran, Sri Pahang FC pada 5 Mac 2022 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Disiarkan pada: January 26, 2022 @ 3:08pm
d