mutakhir

Pengarah penguat kuasa kawal selia direman, disyaki terima rasuah bulanan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Seorang pengarah penguat kuasa di agensi kawal selia direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah secara bulanan.

Perintah reman sehingga 3 Februari ini dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu dibuat di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 42 tahun ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di sebuah lokasi di Cyberjaya.

Katanya, penahanan itu dibuat kerana suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara bulanan daripada seorang individu dengan menggunakan orang tengah bermula Julai 2019 hingga Mac tahun lalu.

"Wang bulanan itu adalah bagi membantu pihak tertentu mendapatkan tender pengurusan pembersihan awam daripada syarikat pembersihan di Kedah," katanya.

Tangkapan terbabit dipercayai adalah lanjutan daripada penahanan lebih 25 individu pada pertengahan bulan ini bagi membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun palsu beberapa syarikat untuk memasuki tender dalam sebuah syarikat pembersihan di wilayah utara tanah air.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: January 28, 2022 @ 1:08pm
d