mutakhir

Maut tercampak 45 meter dirempuh kereta

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Lelaki warga emas maut selepas tercampak 45 meter akibat dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Batu 8, Kadok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.40 pagi, mangsa, Mohd Nawi Dollah, 68, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mangsa menunggang skuter Yamaha Ego S dari arah lorong Sekolah Kebangsaan Kadok dan mahu membelok ke kanan menghala ke Kota Bharu.

"Pada masa sama, pemandu Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menghala ke Machang cuba mengelak, namun terlanggar bahagian hadapan skuter mangsa.

"Akibat itu, mangsa tercampak sejauh 45 meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2022 @ 4:00pm
d