Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mohd Amin Nordin (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan Meridian Tourism Access, Farouk Nurish (kiri), Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Mohd Najib Mohd dan Ketua Unit Pelancongan DBKL, Noraza Yusof (kanan) pada majlis pelancaran KL PASS. - Foto HAZIM MOHAMMAD

Kuala Lumpur: Pelancong sama ada domestik atau asing kini boleh meneroka tempat tarikan pelancongan di bandar raya dengan lebih mudah menggunakan KL PASS atau pas pelancongan yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Abd Aziz berkata pas pelancongan bersepadu ditampilkan dalam enam variasi iaitu 1-Hari, 3-Hari dan 6-Hari untuk

dewasa dan kanak-kanak dengan harga bermula RM125 hingga RM675.

KL PASS menawarkan pelbagai faedah dan kemudahan yang membolehkan pelancong melawat 17 tempat sekitar di ibu negara antaranya seperti Menara KL, Aquaria KLCC, Berjaya Times Square Indoor Theme Park, Sunway Lagoon Theme Park dan Zouk KL.

"Pengguna juga boleh mendapatkan diskaun dan tawaran lain semasa membeli-belah, restoran, kafe, bistro dan tempat hiburan di Kuala Lumpur hanya dengan menunjukkan kad itu," katanya selepas melancarkan KL PASS di sini.

Mhd Amin berkata kad yang dilengkapi sistem berasaskan cip pintar dan mempunyai kapasiti untuk mengendalikan wang digital dapat membantu pelancong menikmati percutian dengan selamat dan mudah tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak.

Bagi DBKL, beliau berkata penggunaan pas pelancongan itu mampu menyalurkan pelbagai maklumat seperti pengunjung baharu, meningkatkan hasil pendapatan

peniaga, pemasaran sekali gus menyediakan maklumat data pengesanan tingkah laku pengunjung. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 9:13 PM