bisnes

Buka sempadan bagi pulih ekonomi negara [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Jeli: Kerajaan menyifatkan pembukaan sempadan negara adalah penting untuk pemulihan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekonomi negara tidak akan pulih sepenuhnya jika sempadan negara tidak dibuka.

Bagaimanapun katanya, jika sempadan negara dibuka sebagaimana yang diumumkan beberapa negara lain, ia perlu disusuli prosedur operasi standard (SOP) ketat supaya tidak berlaku peningkatan kes Covid-19.

"Cadangan pembukaan sempadan negara dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan perkara ini sudah sampai kepada kerajaan.

"Kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara itu kerana pembukaan sempadan amat penting dan beberapa negara sudah membuat pengumuman.

"Kita cukup faham kenapa sempadan negara perlu dibuka kerana ekonomi negara tidak akan pulih sepenuhnya sekiranya ia tidak dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Membina Jalan dari Chedok ke Nibong, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan cadangan pembukaan sempadan negara sepenuhnya tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan tidak dapat dilaksanakan.

Ia memandangkan belum ada perbincangan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 untuk memutuskan perkara berkenaan.

Disiarkan pada: February 12, 2022 @ 1:07pm
d