Asia

Amaran ribut salji di China

Oleh Reuters

Beijing: Jabatan Meteorologi China mengeluarkan amaran ribut salji, hari ini dengan salji tebal dijangka melanda sebahagian besar utara negara itu termasuk Beijing, lokasi berlangsungnya temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Salji yang mula turun di beberapa kawasan pada Sabtu, adalah yang pertama di ibu negara itu sejak Sukan Olimpik Musim Sejuk bermula pada 4 Februari.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran ribut salji peringkat biru, tahap paling rendah dalam sistem amaran tahap empat di negara ini, dengan beberapa wilayah dijangka menerima salji hingga setebal empat sentimeter (cm).

Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu.

"Salji lebat dijangka melanda beberapa bahagian di tengah dan selatan Mongolia Dalam, utara Shanxi, tengah dan utara Hebei, utara Beijing, selatan Tianjin, timur dan selatan Liaoning, Xinjiang serta Pergunungan Tianshan, hari ini," katanya dalam satu notis.

Suhu di Beijing menurun, dengan Balai Cerap Meteorologi Beijing menjangkakan suhu minimum mencecah -6 darjah celsius.

Disiarkan pada: February 13, 2022 @ 1:50pm
d