mutakhir

Tak puas hati di hon, lelaki baling spanar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang membaling spanar sehingga menyebabkan cermin sebuah kereta pecah dalam kejadian di Jalan Kuching, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh seorang lelaki yang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa memandu di Jalan Kuching sebelum sebuah motosikal memotong kenderaan itu di laluan paling kanan.

"Mangsa yang terkejut dengan tindakan penunggang terbabit membunyikan hon sebagai tanda amaran namun penunggang itu menunjukkan isyarat lucah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, mangsa mengabaikan perkara berkenaan dan meneruskan pemanduan seperti biasa.

"Pemerhatian menerusi cermin sisi kereta, mangsa melihat penunggang motosikal itu menghimpit kenderaannya sebelum membaling objek sehingga menyebabkan cermin belakang pecah.

"Mangsa segera memberhentikan kenderaannya dan mendapati penunggang terbabit membaling spanar," katanya.

Menurutnya, polis kini dalam usaha untuk mengesan suspek di dalam video yang dirakam mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 3:35pm
d