WM

Selami dunia The Simpsons

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SEJAK lebih tiga dekad, siri televisyen kartun popular, The Simpsons menjadi hiburan seisi keluarga dan kegemaran ramai.

Biarpun banyak siri televisyen baharu dikeluarkan, namun warga Springfield itu masih kekal sebagai sumber komedi dan hiburan pilihan di seluruh dunia.

Populariti siri pilihan ramai itu turut mendorong jenama denim terkenal, Levi's untuk bekerjasama bagi menghasilkan koleksi pakaian menarik untuk musim bunga/panas 2022.

Koleksi yang baharu dilancarkan itu diinspirasikan oleh gaya jalanan dengan cetusan aura untuk mengimbau semula budaya pop dunia.

Menampilkan Bart, Lisa, Milhouse bersama sebilangan besar penduduk popular di Springfield, ia adalah kerjasama yang membawa peminatnya kembali ke era lain.

Himpunan itu bagaimanapun masih mengekalkan penampilan segar dan bergaya, gaya pilihan muda-mudi zaman ini.

Antara rekaan yang diketengahkan ialah baju Rompi Puffer yang boleh diterbalikkan (boleh guna dua belah sisi) dengan cetakan grafik awan.

Turut ditampilkan, rekaan denim indigo pudar longgar Trucker yang menonjolkan grafik Bart Simpson menikmati minuman Squishee bersama logo ikonik, Batwing.

Sebagai penghormatan kepada Sekolah Rendah Springfield, kemeja-T Ringer, baju panas, jaket dan seluar korduroi kuning lebar turut ditampilkan hasil inspirasi pakaian seragam sekolah vintaj.

Apa yang menariknya mengenai rekaan jaket itu, ia menyerlahkan lapisan cetakan keseluruhan dengan imej Lisa Simpson, Ralph Wiggum, Puan Krabappel, Otto si pemandu bas dan pelbagai lagi watak kegemaran dalam siri televisyen berkenaan.

Selain itu, kemeja-T dan baju panas potongan leher kru yang memaparkan cetakan grafik adegan daripada episod ikonik siri itu turut berbaloi dimiliki.

Untuk melengkapkan lagi penampilan, dapatkan aksesori seperti topi bucket puffer yang boleh diterbalikkan, topi beanie bersulam dan beg silang bercorakkan awan dan langit biru.

Jadi, selami dunia The Simpsons dengan gabungan unik semangat Springfield bersama gaya Levi's yang tersendiri.

Bagi yang berminat, koleksi berkenaan sudah pun berada di pasaran.

Disiarkan pada: March 8, 2022 @ 6:13am
d