mutakhir

Maut dihempap pokok ketika memancing

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Hulu Langat: Warga emas maut dihempap pokok tumbang ketika memancing di Loji Air Sungai Langat, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4 petang tadi.

"Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kami dimaklumkan terdapat pokok tumbang yang menghempap seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang sedang memancing di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, anggota bomba mengalihkan dahan pokok yang menimpa mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2022 @ 6:22pm
d