Bola Sepak

Nantikan kelainan Harimau Malaya - Safawi

Oleh Syazwan Msar

Sepang: Perlawanan persahabatan kali pertama di bawah kendalian jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon bakal disajikan dengan persembahan yang cukup berlainan berbanding sebelum ini sekali gus akan membuatkan penyokong bola sepak tanah air kembali tersenyum.

Tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid berkata, latihan berintensiti tinggi yang diperkenalkan Kim Pan-gon membawa banyak perubahan kepada corak permainan Harimau Malaya untuk lebih konsisten dan sistematik.

Pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, barisan kejurulatihan juga menekankan situasi harmoni dalam pasukan supaya dapat menerapkan taktikal dengan lebih baik dan mampu mengawal perlawanan kelak.

"Saya rasa latihan berintensiti tinggi baik untuk pasukan dan sudah pastinya perlawanan esok akan buatkan penyokong Malaysia gembira.

"Panggilan skuad kebangsaan kali ini sudah tentu mahu berikan yang terbaik dan tunjukkan kepada penyokong bola sepak peningkatan serta ada perubahan dalam skuad Harimau Malaya.

"Apa yang boleh saya katakan, setiap jurulatih akan melihat keupayaan dan kehebatan pemain pada sesi latihan. Oleh itu, latihan berintensiti tinggi untuk kami sememangnya bagus untuk meningkatkan lagi keupayaan masing-masing," katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Singapura dalam rangka perlawanan persahabatan bertemu Filipina esok sebelum turun menentang tuan rumah pada Sabtu.

Sementara itu, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, walaupun kehadiran barisan kejurulatihan baharu dalam skuad Harimau Malaya membawa 'aura' berlainan kepada pasukan namun tiada tekanan kepadanya untuk membarisi kesebelasan utama.

"Saya hanya mahu berikan yang terbaik untuk perlawanan esok dan harap mampu mencipta keputusan positif," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 12:43pm
d