mutakhir

Tabung Bencana NSTP-Media Prima sumbang pakaian sekolah [METROTV]

Oleh Roselan Ab Malek

Temerloh: Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan sumbangan pakaian sekolah kepada 465 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti, Mentakab, di sini, hari ini.

Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial MPB Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, sumbangan bernilai RM46,500 itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa menyediakan pakaian sekolah anak selepas ramai yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berkata, ia juga diharap dapat memberi manfaat kepada murid sekolah itu bagi memastikan mereka dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik dan ceria.

"Kami (MPB) mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang Tabung Bencana NSTP-Media Prima kerana sumbangan mereka membolehkan kami menyalurkan bantuan kepada sekolah ini.

"Insya-Allah, selepas ini kami akan bekerjasama dengan sekolah lain pula dan terus berusaha menyampaikan amanah orang ramai melalui tabung ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Desa Bakti Noor Akma Abdul Basir di Masjid Desa Bakti, Mentakab di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Akma berkata, pihaknya menghargai sumbangan Tabung Bencana NSTP-Media Prima itu dalam meringankan beban ibu bapa menyediakan pakaian sekolah selepas terjejas banjir selama 19 hari baru-baru ini.

Berkongsi kegembiraan menerima sumbangan itu, murid Tahun Lima sekolah itu, Ainon Sofia Azman , 11, berkata, baucer yang diberi menerusi tabung digunakan untuk membeli dua pasang pakaian sekolah.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 2:57pm
d