mutakhir

Kampung Lembah Bakti kembali dilanda bah [METROTV]

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Hujan lebat berterusan sejak lewat petang semalam menyebabkan Kampung Lembah Bakti di sini dilanda banjir kilat.

Sebanyak 37 rumah membabitkan 168 mangsa terjejas akibat banjir sedalam satu meter, terutama di kawasan rendah kesan limpahan air dari parit besar berhampiran.

Difahamkan, kawasan kampung ini kali ke-dua berlaku bah tahun ini dengan kejadian pertama pada awal Januari lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Segamat Kapten (PA) Norhisham Abdullah berkata, anggotanya melakukan pemantauan banjir kilat bermula 7.16 malam.

Katanya, setakat ini paras air pada tahap terkawal dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih dalam keadaan bersiap sedia.

"Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, Tenang Stesyen, setakat ini," katanya ditemui di PPS SJKC Ai Chun di sini hari ini.

PPS SJKC Ai Chun beroperasi 9.15 malam tadi, menempatkan kesemua mangsa banjir.

Disiarkan pada: April 12, 2022 @ 12:29am
d