mutakhir

Lari tinggal rokok bernilai RM183,548

Oleh Erika George

Limbang: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Limbang merampas 21 kotak rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM183,548, semalam.

Komander Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali berkata, rampasan dibuat ketika pasukan Unit Risikan Marin menjalankan Op Kontraban di kawasan Ulu Mendamit Lubok Lalang, di sini pada 5.30 petang.

Katanya, pasukan itu mengesan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang mencurigakan, sebelum mengekorinya.

"Pemandu kenderaan memecut laju sebaik sedar diekori dan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan, serta melarikan diri ke dalam hutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulfikar berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan menemui 21 kotak pelbagai jenis rokok di bahagian belakang dan ia tidak bercukai.

Katanya, rokok dan kenderaan yang dianggarkan RM80,000 dibawa ke Markas Taktikal PPMW5 Limbang untuk tindakan lanjut, sementara kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: April 18, 2022 @ 12:49pm
d