mutakhir

Terperangkap lebih setengah jam

Oleh Ruwaida Md Zain

Sungai Buloh: Tujuh orang awam dilaporkan terperangkap di dalam ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bandar Baru Sungai Buloh, tengah malam tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya tiba di lokasi pada 12.15 tengah malam sebaik menerima panggilan pada 12.09 tengah malam.

"Setiba di lokasi, bomba mendapati orang awam terperangkap di dalam ruang pengeluaran ATM berkenaan dipercayai selama kira-kira setengah jam.

"Anggota bomba bertindak menghubungi 'hotline' bank berkenaan untuk memaklumkan ada mangsa terperangkap di ruang berkenaan.

"Pihak operator memaklumkan kepada bomba, mangsa yang terperangkap perlu menekan butang kecemasan sahaja di dalam ruang pengeluaran itu bagi membuka 'roller shutter'," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata, sebaik 'roller shutter' terbuka semua mangsa dapat keluar dengan selamat tanpa sebarang masalah.

"Seramai tujuh orang awam yang terperangkap membabitkan lima lelaki dan dua perempuan dianggarkan berumur 20an hingga 40an," katanya.

Terdahulu tular di media sosial satu video berdurasi 24 saat memaparkan pihak bomba sedang membantu dan berinteraksi dengan orang awam yang terperangkap.

Disiarkan pada: April 22, 2022 @ 4:00pm
d