vroom

Ride amal Ramadan

Oleh Lizam Ridzuan

Banyak kelab motosikal ditubuhkan dan ia bukan sekadar untuk menunggang ke satu-satu destinasi malah terbabit dalam aktiviti amal serta kebajikan.

Antara yang aktif ialah kelab KTM Ladies Crew (KLC) dengan ahlinya membabitkan penunggang wanita.

Terbaharu, KLC berkunjung ke asrama anak yatim Teratak Che Dah di Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Lebih 21 ahlinya terbabit pada program ini dan konvoi bermula dari Stesen Petron Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor.

Kesemuanya menunggang KTM membabitkan pelbagai model seperti RC 200, RC 390, Duke 200, 250 dan 390.

Perjalanan bermula jam 5.45 petang sebelum konvoi tiba di Teratak Che Dah jam 6.15 petang.

Ucapan daripada kedua-dua pihak dan lawatan ke sekitar kawasan kediaman kemudiannya berlangsung.

Antara aktiviti diadakan termasuk berbuka puasa bersama anak yatim selain solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Selesai itu, diadakan jamuan ringan selain perkongsian kisah anak-anak yatim bersama ahli KLC yang kemudian turut menyerahkan sumbangan serta duit raya kepada mereka.

Presiden KLC Siti Asmah Zulkifli (Miss M) berkata, idea melakukan aktiviti ini timbul selepas pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) kelab yang baharu untuk sesi 2022 diadakan.

"Selepas dua tahun penubuhan KLC, kami sentiasa memikirkan aktiviti lain yang perlu dilakukan selain menunggang, bersantai dan makan-makan bersama.

"Kami berbincang sebelum memutuskan untuk ke Teratak Che Dah yang dihuni lebih 17 anak yatim dan asnaf," katanya.

Program selesai sekitar jam 11 malam sebelum mereka pulang ke destinasi masing-masing.

KLC kini mempunyai lebih 30 ahli dan antara perancangan mereka tahun ini ialah menganjurkan program Ronda Raya dan mengikuti kelas dan program hari litar.

Mereka juga aktif dengan aktiviti tunggangan mingguan dan kebanyakan ahli berasal dari Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Disiarkan pada: April 24, 2022 @ 11:08am
d