BILIK air yang sempit memerlukan sentuhan dekorasi unik.
Oleh Faizal Zain

Salam deko. Kali ini saya berminat untuk membicarakan dekorasi bilik air. Kini ramai dalam kalangan kita buntu apabila memiliki bilik air yang kecil dan sempit menyebabkan idea sentuhan dekorasi terhad. Ternyata ia sangat mencabar kreativiti pemilik untuk mengindahkan suasana di ruang itu.

Di sini ingin saya berkongsi beberapa panduan yang mungkin dapat membantu anda memberi sedikit sentuhan pada bilik air supaya tampil lebih menarik dan kelihatan praktikal.

Kurangkan bilangan rak pada dinding

Secara umumnya kita sering meletakkan rak besi atau kayu pada dinding bilik air bagi menempatkan kelengkapan mandi termasuk berus gigi, syampu dan sabun.

Biasanya setiap bilik air ada lebih daripada dua rak pada dinding. Kehadirannya di ruang bilik air yang sempit sebenarnya mengganggu pemandangan. Apatah lagi daripada jenis terbuka yang jelas menampakkan segala koleksi keperluan mandian tergantung di setiap penjuru dinding itu.

Jalan penyelesaian yang lebih praktikal ialah dengan meletakkan hanya satu rak daripada jenis tertutup dan berpintu. Ini bagi menjimatkan ruang dan menyimpan segala keperluan mandian anda yang sememangnya bukan untuk dipamerkan.

Pemilihan lampu

Lampu neon atau jenis LED dapat memberikan suasana lebih berbeza. Pencahayaan lebih daripada satu punca sangat membantu dalam mencipta ruang bilik air lebih luas. Ternyata kebanyakan bilik air kita hanya ada satu sumber pencahayaan dan ini menjadi antara punca bilik itu kelihatan kecil.

Pasang cermin saiz besar

Sejak dulu cermin memainkan peranan dalam dunia dekorasi untuk membantu ruang sempit agar kelihatan luas. Begitu juga dengan ruang bilik air yang sempit, kehadiran cermin sangat membantu dalam menghasilkan ilusi lebih luas. Bagaimanapun, bukanlah cermin bulat yang hanya menampakan muka saat anda memberus gigi. Seeloknya, anda memerlukan cermin lebih besar hingga menampakkan paras pinggang dan letakkan secara bertentangan. Imej pantulan berupaya menghasilkan ilusi ruang lebih luas.

Dinding warna cerah

Jika anda ada bilik air yang kecil dan sempit, elak menggunakan warna gelap seperti hitam, kelabu gelap atau coklat gelap. Warna yang terang sangat sesuai kerana dapat membantu ruang yang sempit kelihatan lebih luas. Warna biru terang, putih dan krim sesuai untuk ruang bilik air yang sempit.

Pilih warna lantai terang

Pastikan anda memilih jubin berwarna lebih cerah dan terang. Jangan takut jika ia mudah kelihatan kotor, sebaliknya ia membantu menjadikan bilik itu lebih besar. Jangan pula malas mencuci bilik air. Cucian yang kerap pada bilik itu membuatkan ia sentiasa bersih daripada kuman dan kotoron.

Sinki dan mangkuk tandas

Pemilihan sinki dan mangkuk tandas juga perlu diberi perhatian. Kini ada pelbagai saiz sinki dan mangkuk tandas di pasaran. Jika kamar mandi anda sempit dan memerlukan lebih ruang, jangan kedekut mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk mendapatkan sinki serta mangkuk tandas lebih kecil atau sesuai buat ruang bilik air sempit.

Semoga panduan ini dapat membantu anda menghasilkan bilik air yang lebih luas dan selesa untuk kegunaan seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:00 AM