utama

Afghanistan tanah yang dilukai [METROTV]

Oleh Aswadi Alias

Kabul: Enam orang awam cedera dalam letupan bom tangan di sebuah masjid sejurus solat Zuhur pada hari ke-4 Ramadan membuatkan hati terdetik rasa bimbang apabila kaki menjejaki bumi Afghanistan.

Namun demi memenuhi amanah, tugasan terus dilakukan ketika mengikuti misi kemanusiaan di Afghanistan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia (MCM) pada 7 April lalu.

Walaupun kejadian letupan atau serangan ini berkurangan sejak kerajaan Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.

Sebenarnya, penulis tidak pernah terlintas berada di negara daratan ini, yang melalui sejarah perjuangan dan pengorbanan panjang - negara yang menjadi medan pertempuran dan ujian persenjataan moden oleh kuasa besar dunia.

Pengalaman berada di Afghanistan membuka mata penulis untuk menilai bagaimana kesengsaraan dan perjuangan rakyatnya akibat kerakusan barat yang mahu memonopoli pengaruh dan kuasa.

Penulis tiba di bandar Islam Qala (sempadan Afghanistan-Iran) pada 9 April lalu mengikuti misi kembara Ramadan Afghan atau Care4Afghan disertai 14 sukarelawan diketuai Presiden MCM Zulkifli Wahijan.

Saat memasuki negara itu, penulis melihat cabaran kehidupan dilalui rakyat Afghanistan yang baru tujuh bulan bebas daripada konflik perang susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS).

Tetapi kehadiran Ramadan pertama selepas 'bebas', rata-rata rakyat Afghanistan bersemangat membina semula kehidupan mereka daripada sisa-sisa peperangan yang dilalui sekian lama.

Ekonomi negara itu mula berkembang, tetapi tidak dinafikan segelintir warganya hidup mengemis kerana ketiadaan pekerjaan sehingga terpaksa menjual anak selain bergelar orang kurang upaya (OKU) angkara perang.

Misi kemanusiaan ini membuka mata dan kefahaman penulis - bagaimana untuk bangkit semula selepas hilang segalanya.

Jika luka di luar nampak berdarah, tiada siapa tahu luka di dalam - begitu kesengsaraan empat dekad bumi Afghanistan akibat konflik berdarah membabitkan Soviet Union (kini Rusia), Mujahiddin, Taliban dan AS.

Disiarkan pada: May 9, 2022 @ 12:00pm
d