mutakhir

7 lembu berkeliaran, pemilik didenda RM9,000

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Pemilik binatang ternakan dinasihati menjaga haiwan masing-masing daripada berkeliaran di kawasan taman perumahan selain membahayakan pengguna jalan raya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya berjaya menangkap tujuh ekor lembu yang berkeliaran di Taman Wawasan, Lukut di sini, hasil aduan orang ramai.

"Operasi Penguatkuasaan yang dilakukan sejak dua hari lalu berjaya menangkap sebanyak tujuh ekor lembu milik lelaki berusia 60 tahun.

"Jumlah denda dikenakan kepada lelaki itu adalah sebanyak RM9,000 berikutan semua lembu miliknya sudah ditangkap," katanya semalam.

Katanya, jumlah denda maksimum adalah sebanyak RM2,500 bagi seekor lembu namun kelonggaran diberikan selepas pemilik membuat rayuan.

"Semua penternak lembu sepatutnya menjaga haiwan ternakan mereka dan tidak membiarkannya berkeliaran sehingga memasuki kawasan perumahan, menyebabkan kacau ganggu, kotoran najis di atas jalan, kerosakan landskap serta boleh menyebabkan berlaku kemalangan," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2022 @ 3:59pm
d