mutakhir

Tiga anggota APM disengat ubur-ubur

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengalami cedera ringan akibat disengat ubur-ubur ketika menjalani latihan harian di pantai Batu Hitam, di sini, hari ini.

Pegawai APM Daerah Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, berdasarkan laporan kejadian menimpa tiga anggota lelaki berusia 30-an itu berlaku kira-kira 10.30 pagi.

"Tiga anggota berkenaan terkena sengatan ubur-ubur ketika sedang menjalani latihan harian sebagai anggota penyelamat pantai.

"Mereka menerima rawatan awal dengan menyapu cuka ke tempat yang terkena sengatan dan tidak perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, setakat ini, spesis ubur-ubur terbabit tidak dapat dikenal pasti, namun sebanyak 10 ekor ubur-ubur berjaya ditangkap.

Katanya, pihaknya menasihati orang awam khususnya pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti air di pantai berikutan kehadiran banyak ubur-ubur.

Disiarkan pada: May 13, 2022 @ 7:13pm
d