mutakhir

Polis kesan lelaki acu pistol, pemilik akaun TikTok

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Polis mengesan pemilik akaun TikTok dan individu yang membawa 'senjata' seperti dalam rakaman video yang tular semalam, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, rakaman berkenaan memaparkan seorang lelaki sedang berjalan sambil menyelak baju menampakkan satu objek menyerupai senjata diselitkan di seluarnya.

"Berikutan itu, satu laporan polis dibuat mengenai penularan video itu dan dipercayai kejadian berlaku dalam pusat beli belah di daerah ini yang mana terdapat penganjuran festival animasi selama empat hari bermula 13 hingga 16 Mei lalu.

"Lelaki dalam rakaman berkenaan disyaki salah seorang peserta yang turut menggayakan watak animasi semasa hadir ke festival itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan pemilik akaun media sosial terbabit dan individu dalam rakaman untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: May 18, 2022 @ 5:27pm
d