Sukan Lain

Sharmendran rangkul emas hatrik kumite 75kg

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jaguh karate negara, R Sharmendran mencipta sejarah tersendiri apabila melakar hatrik memenangi emas kumite lelaki bawah 75 kilogram (kg) di temasya Sukan Sea Hanoi, hari ini.

Jelas sekali pengalaman dimiliki Sharmendran membantunya menumpaskan pencabar dari Indonesia, Ignatius Joshua Kandou 3-1 dalam pertarungan akhir di Gimnasium Ninh Binh.

Selain itu, peserta tuan rumah, Duc Thinh Chu terpaksa berpuas hati meraih gangsa selepas menundukkan lawan dari Filipina, Prince Izmen Louis Alejo Escover keputusan 9-1.

Terdahulu, Sharmendran cemerlang menumpaskan peserta Filipina Alejo Prince Izmen Louis Escover 10-3 untuk menempah slot ke final.

Mengikut rekod, dua emas Malaysia dalam acara karate sebelum ini disumbangkan pendatang baharu, C Shahmalarani dan H Sureeya Sankar masing-masing dalam kumite 50kg wanita serta kumite 67kg lelaki.

Disiarkan pada: May 19, 2022 @ 8:15pm
d