mutakhir

10,000 penduduk 'serbu' Rumah Terbuka Parlimen Jelebu

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Syed Junid antara tetamu utama yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jelebu yang diadakan malam ini di Kompleks UMNO Jelebu di sini.

Majlis penuh meriah itu turut dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad selain lebih 10,000 penduduk khususnya dari kawasan Parlimen berkenaan.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar; Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Majlis berkenaan diadakan di perkarangan Kompleks UMNO Jelebu bermula dari jam 7.30 malam hingga 11 malam tadi.

Orang ramai yang hadir bukan sahaja dihidangkan dengan pelbagai juadah tetapi juga turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal dan pertunjukan bunga api.

Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penduduk sekitar Parlimen Jelebu dijemput hadir bagi bersama memeriahkan majlis yang sebelum ini tidak dapat diadakan selama dua tahun berikutan penularan wabak Covid-19 selain larangan mengadakan program berskala besar.

"Ini adalah peluang terbaik untuk kita berjumpa dan beramah mesra selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2022 @ 11:05pm
d