dekotaman

Rumah kekal sejuk

Oleh Muhamaad Razis Ismail

RAKYAT Malaysia sudah biasa dengan cuaca tropika yang panas dan lembap sepanjang tahun, namun sejak awal Mac tahun ini, suhu sangat tinggi.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca panas ini berlarutan sehingga pertengahan September depan berikutan monsun barat daya yang mengakibatkan iklim panas dan kering.

Cuaca yang sangat panas boleh menimbulkan beberapa masalah kesihatan dalam kalangan orang ramai termasuk ruam panas, kekejangan, keletihan dan strok haba yang perlu kita perhatikan.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila melakukan aktiviti luar terutama ketika bersenam di bawah sinar matahari dan pastikan diri sentiasa terhidrat dengan minum lebih banyak air.

Bagaimanapun, bagi yang ingin kekal berada dalam rumah, anda mungkin menanggung bil elektrik yang tinggi berikutan penggunaan penyaman udara dengan lebih kerap dan lama.

Justeru itu, terdapat beberapa penyelesaian alternatif mesra alam dan mesra dompet yang boleh dilakukan di rumah untuk menyejukkan hari yang panas:

1. Gantikan mentol pijar ke mentol LED untuk mengurangkan haba

Semua peralatan elektronik menghasilkan haba apabila menjana elektrik dan ini akan menyumbang kepada peningkatan suhu bilik. Ini termasuk mentol lampu. Berbanding dengan mentol pijar tradisional, mentol LED menggunakan lebih sedikit tenaga dan menjana lebih sedikit haba serta lebih cekap tenaga. Oleh itu, jika anda cuba menyejukkan bilik, peralihan kecil seperti menukar kepada mentol LED dapat membantu dan ia juga akan mengurangkan bil elektrik anda!

2. Pasang bidai atau langsir untuk mengurangkan pengaliran haba dalam rumah

Ia mungkin cantik untuk mendapatkan pencahayaan semula jadi bagi menyinari ruang bilik anda, tetapi cahaya matahari yang mengalir melalui tingkap akan meningkatkan suhu bilik. Lagi besar tingkap, lagi banyak haba yang terkumpul. Bidai dan langsir gelap adalah salah satu cara paling berkesan untuk menghalang cahaya matahari langsung daripada memanaskan ruang. Sebelum anda meninggalkan rumah, jangan lupa untuk menutup langsir sebelum melangkah keluar supaya anda boleh kembali ke rumah yang lebih sejuk.

3. Lekatkan filem gelap pada tingkap

Walaupun langsir adalah cara yang mudah dan berkesan untuk menghalang cahaya matahari terik, ramai yang mungkin tidak mahu berada dalam ruang gelap pada siang hari. Pemasangan filem gelap pada tingkap di rumah anda boleh mengurangkan haba daripada cahaya matahari sambil mengekalkan cahaya semula jadi. Secara amnya, filem gelap memantulkan haba untuk mengelakkan peningkatan suhu bilik. Terdapat juga filem gelap di pasaran yang direka khusus untuk melindungi daripada sinaran UV yang langsung dapat memastikan rumah kekal pada suhu yang lebih sejuk.

4. Lap kipas siling anda dengan kerap

Tahukah anda lapisan habuk tebal pada kipas siling adalah salah satu faktor utama yang mempengaruhi kesan penyejukan kipas. Pembersihan kipas siling sememangnya menyusahkan dan ramai juga yang mungkin hanya membersihkannya setahun sekali. Habuk pada kipas bukan sahaja kotor, malah ia juga memperlahankan kelajuan kipas kerana lebih banyak tenaga diperlukan untuk berpusing. Bersihkan kipas siling anda dengan kerap dan anda pasti akan merasai perbezaannya.

5. Pemasangan hiasan air sebagai sistem penyejuk semula jadi

Pemasangan hiasan air dalam rumah menjadi semakin popular kerana ia bukan sahaja bertindak sebagai sistem penyejukan semula jadi cekap tenaga untuk ruang kediaman semata-mata. Ia juga mewujudkan suasana yang menenangkan. Di samping itu, air menambah kelembapan pada ruang rumah, meningkatkan kualiti udara sambil menyejukkan udara di sekitar kawasan di mana hiasan air diletakkan. Bagi memastikan hiasan air berjaya pastikan pemilik menggunakan saiz pam dan sistem penapisan air yang berkesan.

Disiarkan pada: May 28, 2022 @ 6:20am
d